Friday, February 26, 2016

Kerajaan mahu daftar semua penulis blog

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mencadangkan undang-undang digubal supaya penulis blog wajib mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sebagai usaha mengekang bahan penulisan berunsur fitnah dan tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata cadangan kepada KKMM itu bertujuan memastikan mutu bahan penulisan dalam laman blog atau pengguna laman sosial dibuat secara betul, sah, beretika serta tidak menyalahgunakan internet.

Beliau berkata KDN hanya mengawal penerbitan akhbar melalui Akta Mesin Cetak tetapi ia tidak cukup untuk mengawal penulisan blog berunsur fitnah dan tidak beretika.

“Jadi kita (KDN) hendak bantu kementerian berkaitan dalam usaha mereka menggubal undang-undang baharu bagi tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita pada majlis rumaah terbuka Terbuka Tahun Baharu Cina 2016 di Kompleks Tan Sri Mohamad Rahmat, di sini hari ini.

Beliau berkata banyak negara termasuk Singapura turut menguatkuasakan pendaftaran itu dan tidak menolak kemungkinan model yang diguna pakai di negara jiran terbabit dijadikan panduan dalam menggubal undang-undang baharu tersebut.

Sementara itu di Kuala Lumpur, cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, yang bermula 7 Mac depan, kata timbalan menteri komunikasi dan multimedia.

Datuk Jailani Johari berkata pindaan itu yang bertujuan menambahbaik akta berkenaan, merangkumi beberapa perkara termasuk yang berkaitan hukuman dan penalti.

“Sekarang kalau kita lihat kadar hukuman hanya diletakkan dalam RM50,000 mungkin selepas ini kita tingkatkan sehingga RM500,000 atau lebih.

“Selain penalti, beberapa perkara lain juga turut disentuh terutamanya yang melibatkan pembangunan industri dan komunikasi multimedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Perdana Zafran di sini, malam ini.

Hadir sama Pengerusi Dewan Perdana Zafran, Datuk A Kohilan Pillay.

Jailani berkata kajian mengenai pindaan akta berkenaan dibuat sejak Mac tahun lepas, melibatkan perbincangan dengan lebih 350 pemegang kepentingan termasuk pemain industri seperti Google dan Yahoo! — Bernama

- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/kerajaan-mahu-daftar-semua-penulis-blog-kata-nur-jazlan#sthash.HYFWGaDR.dpuf

No comments:

Post a Comment