Saturday, February 27, 2016

4 Langkah Ubati Ketagihan Media Sosial


'Ganja' media sosial: 4 langkah untuk ubati ketagihan anda

Kajian Cornell University pada hujung tahun 2015 menggelarkan fenomena ini sebagai FOMO, akronim bagi ‘fear of missing out’.

Semua orang berkongsi khabar di Facebook - berita kahwin, foto stereng kereta baharu, video bayi merangkak, jerit amarah pada jiran - mana mungkin kita mahu terlepas?

Tinjauan Pengguna Mudah Alih Global 2015 kendalian Deloitte mendapati lebih 80 peratus pengguna media sosial di Indonesia dan Filipina selesai menyemak telefon pintar dalam 15 minit pertama selepas bangun tidur.

Kebanyakan penagih media sosial akan menafikan sama sekali ketagihan ini. Bagi mereka, berhimpun dengan teman sambil masing-masing merenung skrin telefon tanpa sebarang bicara merupakan gaya hidup normal.

1) Jadualkan penggunaan media sosial

Andai ketagihan anda kritikal dan mustahil untuk berpuasa sepenuhnya dari media sosial, ini pilihan yang boleh mengurangkan gigil tangan yang tidak memegang telefon pintar.

Misalnya, muat naik foto di Instagram pada hujung minggu sahaja. Layari Twitter satu jam sebelum makan malam. Bentuk jadual terpulang kepada gaya hidup anda, asalkan ada rutin yang mampu dipatuhi.

2) Pelbagaikan akaun media sosial

Cadangan ini kelihatan ironi dengan ide nyahtoksik media sosial namun kajian Cornell University turut menyatakan ketagihan Facebook juga disebabkan pengguna tidak mempunyai alternatif lain.

Sertai pelbagai laman media sosial. Lama-kelamaan, anda akan mula penat terkejar-kejar menguruskan semua akaun pada masa yang sama. Tumpuan anda terhadap media sosial akan perlahan-lahan susut. Namun berhati-hati agar tidak dilanda ketagihan berganda.

3) Sertai aktiviti yang memerlukan tumpuan tinggi

Kajian Microsoft Canada pada tahun 2015 mendapati manusia hanya mampu mengekalkan daya tumpuan selama lapan saat. Jika anda sudah sampai ke bahagian ini, daya tumpuan anda nyata sekali tinggi kerana tidak berhenti membaca artikel ini selepas lapan saat.

Menonton wayang, membaca buku kegemaran, dan menyertai aktiviti lasak merupakan antara contoh aktiviti yang akan mengalihkan tumpuan anda dari media sosial buat seketika. Syaratnya, jangan pula anda sibuk merakam ratusan selfie walhal masih berada di kaki bukit yang menanti didaki.

4) Nyahaktif akaun untuk tempoh tertentu

Ini langkah paling ekstrem dan beberapa individu yang berjaya dengan teknik ini. Kuatkan azam dan pilih tempoh tertentu (biasanya tiga hinggu tujuh hari) untuk menyahaktif akaun Facebook atau Twitter anda.

Ada juga yang memilih pasangan atau sesiapa yang benar-benar dipercayai untuk menukar kata laluan akaun media sosial. Jalan pintas juga boleh diambil dengan menyahpasang atau uninstall aplikasi media sosial di telefon.

sumber : http://www.astroawani.com/gaya-hidup/ganja-media-sosial-4-langkah-untuk-ubati-ketagihan-anda-95421

No comments:

Post a Comment