Permainan video adalah ‘trend’ kebanyakan anak muda masa kini untuk mengisi masa lapang mereka di rumah. Sebahagian besar daripada mereka sanggup berhabis duit melayan permainan ini di pusat Internet. Berjam-jam lamanya waktu dihabiskan untuk memberi fokus kepada permainan ini.
Golongan lelaki khususnya gemar bermain permainan video ini hingga sanggup keluar rumah untuk bersosial dan melakukan aktiviti berfaedah. Dengan kewujudan pelantar permainan video popular seperti Playstation 4 dan XBOX One, ketagihan itu makin sukar ‘dibuang’.
Permainan video sebegini memang popular di negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun. Mungkin kerana banyak alat permainan video seperti Sony Playstation dan Nintendo Wii yang berasal dari sana. Tetapi, permainan ini menjadi isu besar pula di sana kerana menyebabkan ramai orang ketagih dan menimbulkan kemudaratan.
Memang ketagihan bermain permainan video ini wujud. Cuma ia tidak pernah diberi perhatian khusus di Malaysia kerana kesannya kelihatan tidak seteruk ketagihan jenis lain seperti dadah, judi dan arak.
Mengikut kajian terdahulu, ketagihan bermain permainan video di negara Asia Timur ini pernah menyebabkan kematian ke atas seorang pemain akibat terlalu khusyuk sehingga mengabaikan kesihatan. Dilaporkan mangsa mampu bermain selama 50 jam terus menerus tanpa rehat dan tidur secukupnya dalam tempoh beberapa tahun sebelum kematiannya.
Mengapa sehingga jadi begini? Rasanya penulis pernah bermain permainan video western bar dan tetris pada zaman persekolahan. Namun, hari ini lebih menakutkan lagi, ketagihan permainan video bukan saja kepada golongan muda, malah orang dewasa tidak terkecuali terutamanya selepas aplikasi ‘candy crush saga’ mula diperkenalkan.Bukan main masing-masing fokus bermain ‘candy crush’ hingga sanggup meletak kerja ke tepi dulu. Mengapa senario ini makin menular dan bukannya orang kian bosan?
Jawapannya adalah kemudahan permainan video ini boleh dicapai secara dalam talian menerusi telefon pintar seperti android dan iPhone. Ini memaksa pemain bermain secara berterusan dalam waktu sebenar untuk mengelakkan kekalahan atau membuat pembelian aplikasi tambahan.
Akibatnya, pemain mengabaikan kerja dan akhirnya terpaksa diberhentikan dan ada pasangan yang terlalu leka menjaga bayi virtual sehingga terlupa memberi bayi sendiri makan dan akhirnya bayi mereka yang sebenar mati kelaparan.
Kajian menunjukkan yang permainan video penyebab perceraian keempat tertinggi di Jepun. Dalam kalangan kanak-kanak pula, tabiat makan sambil bermain permainan video menyebabkan mereka hilang tumpuan terhadap pembelajaran dan mengalami masalah obesiti.
Peranan ibu bapa adalah mereka perlu mengawal jumlah masa yang diperuntukkan untuk anak-anak bermain permainan video. Ini kerana anak-anak juga perlu membabitkan diri dengan pelbagai jenis aktiviti fizikal yang boleh mengeluarkan peluh dan menggalakkan hubungan sosial dengan rakan sebaya.
Ibu bapa perlu luangkan lebih banyak masa bersama mereka. Bawa anak keluar ke taman permainan. Ada banyak tempat permainan kanak-kanak termasuk di kompleks beli-belah jika risau masalah jerebu atau keselamatan di luar.
Yang penting, bawa mereka ke dunia realiti.
Anda juga boleh bawa mereka melawat kaum keluarga atau tempat menarik. Mereka perlu tahu yang mereka juga sebahagian daripada komuniti besar di negara ini.
Permainan video menjadi dadah?
Timbul pula persoalan, bagaimana aplikasi permainan yang direka manusia ini mampu mengundang rasa ketagih kepada sesetengah individu yang sudah terjerat dalam perangkap kemajuan teknologi ini. Pelik awalnya, namun ia bukanlah asing kerana senario ini sesuatu yang sudah dijangka sejak awal.
Di dalam otak, terdapat bahan kimia dikenali sebagai ‘dopamine’ iaitu sejenis pengantara antara saraf (neurotransmitter). Dopamine bertindak di dalam ‘mesolimbic pathway’ sebagai pengaktif sistem yang terletak di ‘nucleus accumbens’ yang mengawal tingkat motivasi dan keseronokan.
Ingin tahu apakah punca kenapa cinta pada awalnya begitu dalam dan kuat tetapi lambat-laun berkurangan?. Si dopamine inilah puncanya. Konsepnya masih sama.
Fokus yang tinggi pada awalnya meningkatkan kuatnya perasaan itu sehingga boleh menyebabkan ‘mabuk cinta’ namun jika perasaan itu tidak dipupuk, kadar dopamine akan berkurangan sehingga perasaan cinta itu hilang.
Dalam proses terjadinya ketagihan, menurut kajian seorang ahli psikologi terkenal Barat, Abraham Maslow sebelum ini, terdapat empat kekurangan keperluan psikologi atau dalam singkatan keperluan-D.
Antaranya yang pertama adalah fisiologi, air, makanan, udara, tempat tinggal dan sebagainya. Kedua pula adalah keselamatan dan pengaruh. Ketiga adalah penerimaan, persetujuan dan perhatian masyarakat umum dan terakhir yang keempat kepercayaan diri, pangkat dan status.
Keperluan ini sentiasa ingin dipenuhi sehingga boleh menyebabkan ketagihan psikologi yang dipengaruhi oleh dopamine. Hal ini juga dikenali sebagai ketagihan dopamine.
Dalam konteks permainan video, sebagai contoh Dota 2 di mana pemain mengawal salah satu daripada 102 heroes untuk memusnahkan ‘Artifak Purba’ (Ancient) musuh di dalam perlawanan lima lawan lima, setiap pembunuhan hero musuh dapat memberi kepuasan dan keseronokan tertentu, apatah lagi jika dapat membantu rakan-rakan seperjuangan untuk memenangi perlawanan.
Kepuasan dan keseronokan (yang juga dapat memenuhi keperluan-D ke-3 dan ke-4) ini dapat memacu ketagihan psikologi yang menyebabkan pemain Dota 2 sanggup menghabiskan masa sangat lama untuk bermain aplikasi permainan ini.
Adakah ketagihan ini sesuatu yang buruk?
Terdapat kes kematian berpunca daripada ketagihan permainan video. Antaranya pada 2007 di China apabila seorang remaja, Xu Yan dijumpai mati akibat bermain terlalu kerap selama dua minggu. Pada tahun sama, seorang lelaki berusia 30 tahun mati akibat bermain tanpa henti selama tiga hari berturut-turut.
Pada 2005, seorang lelaki berbangsa Korea mati akibat bermain permainan ‘Starcraft’ selama 50 jam tanpa henti. 2009 merekodkan seorang bayi berusia tiga bulan mati akibat kekurangan nutrisi berpunca daripada kelalaian ibu bapanya. Ironinya, ibu bapanya sibuk bermain permainan membesarkan anak secara virtual.
20 September tahun lalu, seorang pelajar sekolah tinggi di Amerika Syarikat dijumpai mati di sekolahnya dipercayai akibat penat keterlaluan berpunca daripada bermain permainan video terlalu kerap sehingga mengabaikan rehat serta makan dan minum.
Kesimpulannya, permainan video yang terkawal dan tidak terlalu kerap boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan sehingga boleh meningkatkan kualiti hidup. Sebaliknya, bermain secara terlalu kerap terbukti membahayakan kesihatan yang mungkin diakibatkan pengabaian waktu rehat, makan dan minum.
Bagaimanapun, mengikut kajian sistematik semula oleh Primack et Al dalam sebuah jurnal terbitan Amerika Syarikat pada Jun 2012 mendapati yang penggunaan permainan video secara klinis meningkatkan 69 peratus hasil terapi psikologi, 46 peratus kemahiran doktor dan 37 peratus hasil penyakit pengurusan diri.
Namun, jika melihat semula segala fakta berkaitan, umur purata pemain permainan ini antara 30 tahun dan purata tahun seseorang pemain telah bermain permainan video ialah 13 tahun. 68 peratus daripada jumlah pemain adalah berumur 18 tahun dan ke atas selain 62 peratus pemain bermain bersama dengan pemain lain, sama ada secara langsung atau di dalam talian.
Zaman sekarang, lebih 36 peratus pemain bermain permainan video di dalam ‘smartphone’ mereka dan 25 peratus pemain menggunakan alatan tanpa wayar seperti laptop, notebook, iPad dan sebagainya untuk bermain.
Kelakarnya mengikut fakta sama berdasarkan kajian pemerhatian antarabangsa, 71 peratus ibu bapa percaya permainan video boleh membantu merangsang mental dan pendidikan anak-anak mereka dan 59 peratus ibu bapa percaya mereka boleh menghabiskan masa bersama-sama dengan keluarga dan merapatkan lagi hubungan mereka dengan bermain permainan video.
Penyelesaian?
Tanya diri anda sekali lagi, berapa kali atau berapa jam anda bermain permainan video dalam sehari. Kebiasaannya, Jangka masa maksimum yang diwajarkan adalah selama satu jam saja bagi mengelakkan ketagihan. Jika anda bermain melebihi had waktu berkenaan, anda sudah pun ketagih dengan permainan itu.
Bagi mereka yang tegar, banyak alasan dikemukakan contohnya seperti kebosanan, tekanan, tidak ada aktiviti dan sebagainya.
Jika anda tidak mempunyai ramai rakan, tidak mustahil penyakit ketagihan ini dapat menguasai diri anda. Bagi mereka yang ada ramai kawan, ketagihan ini lebih mudah ‘dibuang’. Kawan memainkan peranan penting untuk membantu anda mengubah rutin yang tidak elok ini.
Selepas menyedari kelakuan anda, seeloknya cuba hubungi atau mengadakan aktiviti bersama rakan sebagai langkah untuk memastikan diri anda sentiasa sibuk dari bermain permainan video. Jumpa rakan di tempat yang anda rasa selesa kerana ini dapat mengelakkan anda dari rasa bosan. Lepak dengan rakan dapat menggalakkan anda keluar dari rumah serta membuat anda berfikiran lebih terbuka.
Dapatkan lesen memandu bagi mereka yang sudah mencapai 18 tahun dan ajak rakan keluar melakukan aktiviti bersama-sama seperti bersenam, bermain sukan, menonton wayang dan lain-lain. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengalihkan perhatian anda dari bermain permainan video di rumah.
Walaupun anda sudah biasa keluar dengan rakan melakukan aktiviti, tidak bermakna anda dapat menghilangkan ketagihan bermain permainan video itu.
Langkah seterusnya adalah hadkan masa anda bermain permainan video berkenaan. Apabila pulang ke rumah setelah keluar dengan rakan, ambil masa untuk berfikir berapa lama masa yang anda perlu peruntukkan untuk permainan ini.
Jika sebelum ini anda sudah biasa bermain sehingga tidak cukup tidur, latih diri anda untuk mengubah tabiat itu. Andai kata anda ketagih bermain selama lima jam tanpa henti, ubah masa itu kepada tiga jam dan lebih singkat pada hari seterusnya.
Lama kelamaan anda akan berjaya mengehadkan masa anda untuk bermain permainan video ini.
Sebagai langkah paling selamat, cuba maklum kepada ibu bapa yang anda sukar untuk membuang ketagihan ini dalam diri anda. Jelaskan pada mereka anda dapat menumpukan perhatian dan merancang aktiviti hanya jika mereka mengambil permainan video itu.
Beritahu ibu bapa yang mereka perlu sembunyikan permainan video itu di tempat yang tidak diketahui oleh anda sungguhpun anda sudah penat mencari. Lama kelamaan anda akan dapat mengalih perhatian kepada perkara yang lebih penting seperti mengulangkaji pelajaran, bersukan, jumpa rakan dan sebagainya.
Oleh Murshid Eunos
Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Penagih__8216_games__8217_/Article
No comments:
Post a Comment