Bermula awal minggu lalu, pepijat Heartbleed atau CVE-2014-0160 yang
belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data
peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.
Awal
minggu ini, Reuters melaporkan kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan
amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara itu agar
memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan serangan
penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan melalui pepijat
Heartbleed.
Presiden dan Pengasas Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee
Abdul Aziz, berkata pepijat Heartbleed disasar kepada pengguna media
sosial kerana laman seperti itu mempunyai kandungan data peribadi yang
banyak.
“Negara kita merupakan antara pengguna media sosial seperti Facebook
yang tertinggi di rantau ini, dan ia menjadi lubuk kepada penggodam
untuk mengambil data peribadi malah sehingga ke tahap mereka boleh
mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat tersebut,” katanya
ketika dihubungi Bernama hari ini.
Khaireel Azlee juga berkata sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam
boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan,
gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna
berkenaan.
Beliau berkata setiap pengguna laman sosial seperti Facebook perlu
mempunyai kesedaran yang tinggi sebelum mendedahkan perkara berhubung
kehidupan mereka di laman itu.“Oleh itu, saya menyarankan semua pengguna
berhati-hati ketika melayari Facebook dan tidak menekan mana-mana
pautan berantai, yang mahukan akaun anda diakses sekiranya ingin melihat
video atau gambar yang disertakan di laman sesawang tersebut,” kata
beliau yang lebih dikenali sebagai Kay Azlee melalui program ICT dan
Anda terbitan Bernama Radio24, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari
7.45 malam hingga 8 malam.
“Perlu diingat, sebelum memuat naik apa sahaja, biarlah ia bersifat
umum, sebagai contoh tidak memuat naik gambar ahli keluarga supaya orang
yang berniat jahat tidak mempunyai akses kepada maklumat kehidupan
peribadi anda,” katanya.
Sementara itu, laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) memuat naik amaran berhubung serangan pepijat Heartbleed
awal minggu lalu.
Amaran bertarikh 8 April itu dikeluarkan kepada semua agensi dan
syarikat telekomunikasi di negara ini bagi memperketat kawalan
keselamatan mereka daripada diceroboh penggodam menggunakan pepijat
Heartbleed.
Menurut amaran itu, SKMM mengenal pasti 34 laman sesawang yang terjejas
dan telahpun memaklumkan kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan
sistem keselamatan masing-masing dengan segera.
SKMM turut menasihati pengguna Internet agar menukar kata laluan
terutama pada akaun media sosial dan e-mel untuk tujuan keselamatan.
Untuk keterangan lanjut berkaitan pepijat Heartbleed, pengguna boleh melayari laman sesawang http://heartbleed.com. – Bernama
No comments:
Post a Comment