Pelanggan di Malaysia dilihat masih gemar memilih pakej jalur lebar kelajuan rendah walaupun terdapat banyak pakej jalur lebar kelajuan tinggi, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM).
Menurutnya demografi pelanggan sehingga Ogos tahun ini untuk perkhidmatan jalur lebar talian tetap, menunjukkan 71 peratus pelanggan Streamyx memilih pakej dengan kelajuan 1Mbps atau lebih rendah.
“Mungkin banyak alasan untuk perkara ini, dan ia belum tentu menunjukkan rakyat Malaysia lebih suka memilih jalur lebar kelajuan rendah.Kekurangan kandungan menarik dan aplikasi dalam talian mungkin menjadi faktor,” kata SKMM dalam satu kenyataan .
Sehubungan itu, SKMM berkata ia juga penting untuk memastikan kemudahan perkhidmatan digital itu disebar luas kepada pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan dan platform pembayaran dalam talian bagi meningkatkan permintaan kepada jalur lebar kelajuan tinggi.
Menurutnya dengan permintaan tinggi, penyedia perkhidmatan mempunyai alasan komersial untuk meningkatkan infrastruktur serta merendahkan harga mereka.
SKMM berkata pelbagai tawaran perkhidmatan berada di pasaran untuk jalur lebar talian tetap dan pelanggan mempunyai banyak pilihan.
“Terdapat pakej untuk 384 kbps sehingga 100 Mbps dengan harga bermula dari RM38. Berikutan permintaan lebih tinggi untuk perkhidmatan data, harga jalur lebar dijangka turun,” tambah kenyataan itu.
SKMM berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pemain industri untuk memastikan harga jalur lebar kelajuan tinggi lebih terjangkau.
Menurut Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), perkhidmatan jalur lebar dikira mampu milik apabila harganya berada pada atau lebih rendah daripada lima peratus purata gaji bulanan.
Menurut SKMM, harga jalur lebar talian tetap di Malaysia mengikut Pendapatan Negara Kasar adalah pada 2.42 peratus pada 2014 dan 3.1 peratus pada 2013 seperti dalam laporan ITU.
Fokus akan diberikan untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada jalur lebar pada kelajuan tepat dan harga yang berpatutan.
No comments:
Post a Comment