Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyifatkan Bajet 2016 akan mewujudkan satu mekanisme baru untuk GST atas tambah nilai prabayar telefon mudah alih bermula 1 Januari 2016 depan mencerminkan keprihatinan kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, ia penyelesaian terbaik dalam memastikan kepentingan dan kebajikan pengguna terutamanya golongan belia dan pelajar.
“SKMM akan memperhalusi dan berbincang secara lanjut dengan pihak yang berkepentingan dalam mewujudkan mekanisme terbaik bagi melaksanakan keputusan kerajaan itu,” katanya.
Menurutnya, memandangkan pelaksanaan mekanisme baru hanya akan bermula pada 1 Januari 2016, ia bermakna buat masa ini kaedah bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sama akan terus digunakan iaitu pengenaan GST sebanyak enam peratus kepada pengguna.
“Apa yang lebih penting adalah kepentingan pengguna terpelihara di bawah pengenalan mekanisme baru itu. Kami juga berharap pelaksanaannya dapat meringankan beban pengguna selain mengukuhkan keyakinan terhadap perkhidmatan telekomunikasi tanah air,” katanya.
Sementara itu, SKMM turut menerima dana sebanyak RM1.2 billion untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar sebanyak empat kali ganda daripada 5Mbps kepada 20Mbps.
“Tumpuan kerajaan terhadap aspek itu akan terus memacu usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang serba terhubung, berpendapatan tinggi dan kompetitif di arena antarabangsa,” katanya.
Dalam pembentangan Bajet 2016 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan untuk meningkatkan kelajuan Internet yang turut meliputi kos membangunkan Insfrastruktur Tulang Belakang Gentian Negara (National Fiber Backbone Infrastructure), jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut.
Mungkin langkah ini juga untuk memastikan pengguna Malaysia dapat mengikuti perkembangan teknologi seiring dengan perkembangan seluruh dunia – apatah lagi dengan Amerika Syarikat yang kini melabelkan jalur-lebar sebagai sambungan internet dengan akses sepantas 25Mbps dan ke atas.
Di Malaysia, Telekom Malaysia telah memperkenalkan UniFi Advance dengan kelajuan bermula 30Mbps pada langganan berbayar RM179 sebulan.
Langkah pelaburan kerajaan ini juga adalah selari dengan sasaran mereka yang inginkan lebih kurang 20% kawasan luar bandar diliputi dengan akses internet sepantas 100Mbps menjelang tahun 2020 kelak.
No comments:
Post a Comment