Beberapa perkara diumumkan semasa pembentangan Bajet 2017 ini, dilihat memberi banyak faedah secara terus kepada industri teknologi. Malah, ia juga dilihat menguntungkan pengguna di rumah.
Antara perkara yang diumumkan berkaitan teknologi adalah:
1. Pinjaman membeli telefon pintar untuk penjawat awam
Penjawat awam kini boleh mendapatkan pinjaman kerajaan untuk membeli telefon pintar, sehingga RM5,000. Pinjaman ini boleh dibuat setiap 3 tahun.
KOMEN: Langkah ini adalah serampang dua mata. Ia adalah sebuah pinjaman, yang akan memotong perbelanjaan bulanan jika tidak digunakan dengan tepat. Ia juga mungkin disalahgunakan, sepertimana yang berlaku pada Baucer Buku 1Malaysia (BB1M), jika tidak dirancang pelaksanannya dengan betul.
2. Gabungan pelepasan cukai dalam bentuk gaya hidup
Kerajaan akan menggabungkan pelapasan cukai individu dalam kategori bahan bacaan, komputer, dan peralatan sukan, menjadi satu jenis pelepasan cukai yang dinamakan pelepasan cukai gaya hidup. Pelepasan ini turut akan ditambah kategori pembelian telefon pintar, tablet dan langganan internet.Gabungan pelepasan cukai gaya hidup ini diberikan sehingga RM2,500 setahun, berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2017. Sebelum ini, pembelian komputer peribadi diberikan pelepasan cukai RM3,000 setiap 3 tahun. Manakala pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan menerima pelepasan RM1,000 setiap tahun.
KOMEN: Pengiraan pelepasan cukai perlu dibuat secara berbeza selepas ini. Mungkin tahun ini habiskan RM2,500 untuk pembelian komputer, dan tahun kemudiannya membeli bahan bacaan dan telefon pintar.
3. Menggalakkan penyertaan sebagai pemandu UBER
Untuk menambah pendapatan golongan berpendapatan sederhana terutamanya, kerajaan menggalakkan mereka menjadi pemandu Uber. Kerajaan bersedia membantu mereka yang tidak memiliki kenderaan, dengan memberi rebat RM4,000 bagi pembelian kereta Proton Iriz, serta menggunakan wang BR1M sebagai bayaran pendahuluan.
KOMEN: Kenyataan ini sedikit sebanyak seperti satu jaminan kerajaan, Uber akan diberi ruang lebih luas untuk beroperasi di Malaysia. Dari sudut lain pula, lebih diskaun untuk membeli kereta Proton. Bagaimanapun, pemandu teksi turut diumumkan beberapa faedah dalam bajet kali ini.
4. Penubuhan Digital Free Zone
Sebanyak RM162 juta akan diperuntukkan kepada MDEC untukpelaksanaan program seperti ekosistem e-dagang, Digital Maker Movement serta pengenalan kategori lokasi baharu sebagai Hab Digital Malaysia.Sebuah zon bebas cukai yang dikenali sebagai Digital Free Zone akan diperkenalkan buat pertama kalinya di dunia. Ia akan menggabungkan zon fizikal dan maya, penambahan perkhidmatan online dan digital bagi memudahkan e-dagang antarabangsa.
KOMEN: Perkara baru, pertama di dunia. Perlukan lebih penjelasan.
5. Pengurangan harga jalur lebar tetap dengan kelajuan diganda
Mulai Januari 2017, pengguna jalur lebar tetap akan menerima naiktaraf kelajuan berganda, tanpa perubahan harga. Jika anda memiliki jalur lebar tetap berkelajuan 5MBps pada harga, ia akan dinaik taraf percuma ke 10MBps pada Januari akan datang.
Manakala dalam tempoh 2 tahun lagi, pakej jalur lebar tadi akan duturunkan harga sehingga 50%. Boleh dikatakan, tahun pertama tingkat kelajuan, tahun kedua turun harga bagi pelan yang sama.
Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyediakan RM1 bilion supaya liputan dan kualiti jalur lebar di seluruh negara mencapai 20Mbps.
KOMEN: Berita terbaik buat pengguna tetapi ibarat satu tamparan kepada penyedia servis internet (ISP) di Malaysia, jika ia tidak dibincangkan terlebih dahulu. Kita telah melihat bagaimana porak peranda berlaku ketika prabayar diumumkan akan dikenakan GST. Langkah ini pastinya menguntungkan pengguna, tetapi ISP juga perlu diberi ruang untuk pelaksanaan. Jangan janji tinggal janji.
6. Jalur lebar ethernet di universiti awam
Kerajaan mahu meningkatkan capaian dan kualiti internet di universiti awam, untuk mencapai kelajuan maksimum 100GBps.KOMEN: Internet lebih laju untuk menonton video berkualiti tinggi, untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan.
7. Tablet bantuan mengajar buat guru
Kerajaan akan memperuntukkan RM340 juta untuk menyediakan tablet sebagai bahan bantuan mengajar, buat 430,000 pendidik.
KOMEN: Sebelum ini kerajaan pernah memberikan Netbook 1Malaysia kepada pengajar, dan projek tersebut dilihat gagal. Perlaksanaan yang teliti perlu dibuat jika benar-benar mahu dilakukan. Jika tidak, satu lagi projek gajah putih.
8. Penggantian Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) kepada kad debit pelajar
Tiada lagi baucer buku, tetapi ia akan diperkenalkan dalam bentuk baru, kad debit. Kad ini akan dimuatkan dengan nilai RM250 yang akan boleh digunakan untuk pembelian buku, alatulis, alatan komputer dan akses internet.
KOMEN: Mungkin langkah menukar baucer kepada kad debit adalah satu cara mengawal penyalahgunaan BB1M yang meluas sebelum ini. Harapnya ia langkah yang tepat kali ini.
SUMBER : http://theskop.com/2016/10/banyak-faedah-teknologi-di-dalam-bajet-2017/
No comments:
Post a Comment