Wednesday, August 10, 2016

Kerajaan Belum Putuskan Pekeliling Khusus Pokemon Go

Ali Hamsa

Kerajaan belum memutuskan untuk mengeluarkan pekeliling khusus berkaitan permainan Pokemon Go untuk penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau menegaskan penjawat awam tidak dibenarkan bermain apa-apa permainan termasuk permainan dalam talian pada waktu bekerja.

“Kita tunggu… kita akan lihat dulu apakah impaknya,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan pekeliling berhubung permainan itu untuk penjawat awam.

Ali ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) mengenai Produktiviti Sektor Awam, di sini hari ini.

Permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA itu yang kini menjadi kegilaan masyarakat global, mula memasuki Malaysia Sabtu lepas dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata karakter Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan berkata aplikasi permainan maya itu akan dihalang penggunaannya jika didapati mempunyai unsur perjudian dan pengintipan yang mengancam keselamatan negara.

Sumber : http://www.mynewshub.cc/2016/08/09/kerajaan-belum-putus-keluarkan-pekeliling-khusu-pokemon-go/

No comments:

Post a Comment