Friday, August 12, 2016

1.2 Juta Pelajar Akan Belajar Pengekodan Bermula Tahun Depan


Perdana Menteri Malaysia hari ini melancarkan #mydigitalmaker, satu inisiatif yang bertujuan menghasilkan generasi cekap digital dalam negara ini. MDEC bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan cuba mendedahkan warga cilik negara kepada aspek kreatif dan inovatif dunia teknologi digital dengan bantuan sektor swasta dan akademia.

Sebagai permulaan, mulai Januari tahun depan, mata pelajaran Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer Asas akan disepadukan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di semua sekolah seluruh negara. Usaha ini dijangka akan memanfaat kira-kira 1.2 juta pelajar di 10,173 sekolah di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata melalui inisiatif itu, modul pemikiran komputasional akan diperkenalkan di peringkat sekolah rendah, dan diteruskan dengan pelaksanaan subjek Asas Sains Komputer bagi murid Tingkatan Satu dan Empat supaya golongan murid terdedah dengan kemahiran teknologi digital seperti pengekodan, algoritma dan menyelesaikan masalah.

CEO MDEC, Dato’ Yasmin Mahmood, memaklumkan bahawa 90 peratus perkerjaan pada masa akan datang memerlukan tahap kopetensi dalam bidang digital yang tinggi. Maka, adalah penting bagi kita untuk memastikan tenaga kerja negara kelak mahir dan memiliki ilmu yang secukupnya untuk melayari revolusi digital nanti.

Sedang KPM memainkan peranan mereka dalam bilik darjah, sektor swasta dan para akedemia pula turut menggembleng tenaga bersama-sama MDEC untuk terus membentuk generasi digital ini di luar bilik darjah. Misalnya, pengenalan Kelab Digital Maker di sekolah dan Hab Digital Maker dalam komuniti setempat diharapkan akan melicinkan transformasi yang dicanang.

MDEC menyeru warga Malaysia untuk menyokong inisiatif MY Digital Movement ini demi masa depan generasi yang gemilang. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.mdec.my/mydigitalmaker.

No comments:

Post a Comment