Sambutan Safer Internet Day atau Hari Internet Lebih Selamat yang dianjurkan di lebih 100 negara termasuk Malaysia.
Di negara ini, ia CyberSecurity Malaysia sekali lagi menjadi pelopor mengadakan sambutan Safer Internet Day (SID) 2016 peringkat nasional dengan galakan kepada semua pihak untuk turut sama sekurang-kurangnya menganjurkan aktiviti berkaitan hari tersebut yang disambut sepanjang bulan Februari.
SID mula dianjurkan pada tahun 2004 oleh InSAFE European Union (EU) yang berpangkalan di Brussels, Belgium. Sambutan SID diadakan pada bulan Februari setiap tahun bagi mempromosi keselamatan internet, memupuk serta meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya kanak-kanak dan remaja mengenai kepentingan keselamatan internet agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab apabila menggunakan teknologi dan aplikasinya serta gajet digital seperti telefon pintar, telefon mudahalih dan juga tablet.
Antara tujuan sambutan SID diadakan di Malaysia termasuk memupuk serta meningkatkan kesedaran para pengguna Internet, khususnya kanak-kanak dan remaja mengenai kepentingan keselamatan siber selain memberi pendedahan kepada pengguna Internet mengenai tatacara serta kaedah penggunaan Internet secara positif dan selamat.
Malah, ia juga membina budaya penggunaan Internet dan teknologi secara berhemah dan beretika selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber dan Internet bersesuaian dengan slogan CyberSAFE (program kesedaran keselamatan siber inisitiaf CyberSecurity Malaysia) iaitu ‘Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat’.
Pada tahun ini, SID 2016 akan disambut di peringkat global pada 9 Februari 2016 dengan tema ‘Play Your Part For A Better Internet’.
Lt Kol (B) Mustaffa Ahmad yang juga Naib Presiden Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Jangkauan CSM, memaklumkan kepada TheSkop, berdasarkan tema tersebut, para pengguna internet disaran agar memainkan peranan mereka sebagai pengguna internet dengan lebih beretika dan lebih bertanggungjawab.
“Sekiranya mereka mempunyai pemahaman serta pengetahuan mengenai keselamatan internet, maka mereka perlu menggunakan sepenuhnya ilmu yang dimiliki dengan bertindak sebagai penggerak atau peneraju bagi mewujudkan persekitaran siber yang selamat lagi kondusif,” katanya.
Dari statistik Pusat Bantuan Cyber999, CyberSecurity Malaysia pada tahun 2015, didapati insiden keselamatan siber yang paling banyak dilaporkan oleh pengguna internet adalah Penipuan Atas Talian (Online Fraud) dan Pencerobohan (Intrusion)
Jumlah Online Fraud yang dilaporkan pada tahun 2015 ialah sebanyak 2,960, manakala Intrusion pula sebanyak 1,646 – dari jumlah keseluruhan insiden yang dilaporkan iaitu sebanyak 9,420.
http://theskop.com/2016/02/internet-lebih-selamat-apa-peranan-kita/
No comments:
Post a Comment