Tiada jaminan keselamatan terhadap pangkalan data kerajaan Malaysia daripada diceroboh oleh mana-mana pihak khususnya dalam aktiviti pengintipan selagi mana perkhidmatan jalur lebar negara dihubungkan dengan rangkaian dunia tanpa sempadan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sehingga kini Malaysia masih menggunakan rangkaian tadbir urus internet yang sama dan ia agak sukar untuk mengelakkan aktiviti pengintipan daripada berlaku.
"Selagi kita masih dihubungkan ataupun memilih untuk tadbir urus internet dalam rangkaian sedia ada, kita tidak dapat mengelak daripada berlaku perkara itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Digital Malaysia State of the Digital Economy di pejabatnya,
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi reaksi balas terhadap isu intipan pihak asing terhadap Malaysia khususnya Amerika Syarikat selepas perkara itu didedahkan oleh seorang bekas kakitangan Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada April lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery menambah, kerajaan hanya boleh mendidik masyarakat supaya membuat 'encryption' ke atas setiap data sebelum dimuat naik ke dalam pangkalan data khususnya data peribadi.
"Kita berusaha mendidik masyarakat dari segi keselamatan dan sekuriti supaya data yang dihantar dibuat 'encryption' kerana ada pihak yang berusaha untuk mencari jalan bagaimana untuk memecahkan kod-kod 'encryption' kita itu.
"Bukan saja oleh Amerika tapi tempat-tempat lain dan kita juga boleh untuk itu kalau kita ada keupayaan untuk mencari maklumat kepada negara-negara lain," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment