Cadangan pendaftaran pengguna laman sosial Facebook dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilihat sukar untuk dilaksanakan kerana memerlukan kerjasama secara langsung dengan pengasas laman sosial itu.
Presiden Persatuan Penyedia Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP) Johary Mustapha berkata sehingga kini belum ada mana-mana negara berjaya berbuat demikian kerana bilangan pemilik akaun Facebook di seluruh dunia kini mencecah 1.3 bilion dan 15 juta daripadanya merupakan pengguna di Malaysia.
“Malaysia memerlukan kerjasama ‘server’ Facebook yang beroperasi di Amerika Syarikat (AS) untuk membolehkan rakyatnya berdaftar dengan SKMM, tetapi secara logiknya adakah ia mampu dilaksanakan?
“Daripada sudut pandangan industri, tidak relevan untuk pengendali laman sosial tersebut memberi pengecualian khas kepada mana-mana pihak bagi tujuan terbabit kerana tindakan itu akan menyusahkan ramai pengguna Facebook,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telahpun mengatakan bahawa setakat ini kementeriannya mendapati tiada keperluan untuk mewajibkan pengguna laman sosial Facebook didaftarkan dalam usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan laman siber.
Ahmad Shabery juga telah menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah berhasrat menutup laman soaial Facebook sekalipun terdapat banyak laporan penyalahgunaannya di negara ini.
Sementara itu, Johary turut menyarankan agar pengguna mengamalkan sikap ‘self-censorship’ (saringan sendiri) terhadap sebarang bahan yang dimuat naik dan dikongsi dalam laman maya.
“Pengguna Facebook perlu teliti terlebih dahulu kandungan sesuatu berita dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum dikongsi atau ‘like’ kerana ada di antaranya menghina institusi Raja, agama dan kaum, yang tidak sepatutnya dikongsi sebaiknya padam atau dilaporkan kepada Facebook,” katanya.
Senada dengan pandangan itu ialah jutawan perniagaan internet, Irfan Khairi yang berpendapat peranan untuk menyekat sebarang bahan yang diragui terletak pada pengguna laman sosial itu sendiri.
“Pengguna Facebook juga perlu menyandang tanggungjawab untuk lebih prihatin terhadap penggunaannya, terutama tidak sewenang-wenangnya berkongsi serta menyebarkan berita yang belum sahih, rasis dan boleh menganggu ketenteraman masyarakat berbilang bangsa di Malaysia,” katanya.
Irfan berkata orang ramai juga perlu mengetahui kesalahan yang dilakukan menerusi internet boleh disabitkan dengan undang-undang sedia ada.
“Apa yang tidak boleh dilakukan di luar, maka tidak boleh juga dilakukan di Internet dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, individu yang disabitkan kesalahan menyalahgunakan laman sosial boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment