Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan pada 16 Mei 2011 selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-undang berkaitan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010
(APDP) iaitu Akta 709.
Tanggungjawab utama Jabatan ini ialah untuk mengawalselia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam urus niaga komersial oleh Pengguna Data supaya tidak disalahguna dan disalahpakai oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
Keselamatan data peribadi pengguna perlu dilindungi bagi mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan terhadap penyimpanan atau pemprosesan data peribadi individu, awam dan swasta di Malaysia secara transaksi komersial adalah termaktub di bawah APDP ini.
Dalam menguatkuasakan APDP, JPDP telah mensyaratkan kepada semua Golongan Pengguna Data Peribadi yang terdiri daripada pihak individu mahupun swasta kecuali Kerajaan untuk berdaftar secara rasmi bagi tujuan melindungi hak-hak pengguna dan awam.
JPDP diketuai oleh Ketua Pengarah dengan dibantu oleh seorang Timbalan Ketua Pengarah. Manakala, terdapat tiga bahagian utama di JPDP iaitu Bahagian Pendaftaran dan Operasi,
Bahagian Pemantauan dan Bahagian Perundangan.
FUNGSI DAN PERANAN
Jabatan
Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP) komited untuk mengawal selia
dan menguatkuasakan Akta Perlindungan Data Peribadi dalam transaksi
komersial berdasarkan Tujuh Prinsip Utama Perlindungan Data Peribadi demi mencapai kesejahteraan hidup rakyat Malaysia;
- Melindungi data peribadi individu supaya tidak disalahgunakan melalui Tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi;
- Memastikan Pengguna Data mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi supaya hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara;
- Menguatkuasakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 (Akta 709) bagi membanteras penyalahgunaan data peribadi;
- Menjadikan Malaysia sebagai sebagai pusat komunikasi dan multimedia serta perdagangan elektronik yang mampu memberi jaminan perlindungan data peribadi mengikut piawaian antarabangsa;
- Menyelenggarakan proses fizikal dan elektronik bagi Daftar Pengguna Data, Forum Pengguna Data dan Tata Amalan yang teratur dan berkesan selaras dengan Bahagian X Akta 709 (Fasal 128 – 144);
- Menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan perlindungan data peribadi;
- Mendokumentasikan dan menerbitkan hasil kajian serta bahan-bahan rujukan berkaitan perlindungan data peribadi;
- Merancang, melaksana dan menyelaras aktiviti-aktiviti berkaitan perlindungan data peribadi di Malaysia; dan
- Mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi dari dalam dan luar negara berkaitan perlindungan data peribadi.
No comments:
Post a Comment