Thursday, June 19, 2014
Program eBuku Intel diterima pelajar
Tahap kehadiran bagi Sekolah Kebangsaan Paya Bunga (SK Paya Bunga) Kuala Terengganu, Terengganu tidak pernah mencapai 100 peratus, malah dengan 70 peratus murid hadir pun sudah dikira bagus. Antara faktor ketidakhadiran itu termasuk isu kemiskinan, kurang minat belajar dan sistem pembelajaran tradisional kurang menarik.Pernah satu ketika sekolah ini hampir ditutup berikutan prestasi pembelajaran kurang memberangsangkan di samping kehadiran pelajar tidak menggalakkan.
Namun, selepas projek eBuku Intel diperkenalkan, kehadiran murid di sekolah meningkat mendadak, dari hanya 70 ke 80 peratus kehadiran, ia berubah kepada hampir 100 peratus.Adakalanya guru pula pening kepala apabila murid mula meminta lebih kerja untuk dilakukan.
Pegawai Kementerian Pendidikan Terengganu, Tengku Mohd Yusoff Tengku Mansor berkata, dari aspek demografi, kebanyakan murid anak pekerja biasa di restoran, peniaga pasar malam dan sebagainya yang keluar bekerja dari pagi hingga malam.
“Selepas waktu persekolahan, murid biasanya melepak tanpa tujuan atau membantu ibu bapa berniaga. Mereka tidak terus pulang ke rumah, malah ada yang menjadikan Kuala Terengganu ‘port’ melepak yang tidak memberikan gambaran sosial baik,” katanya.
Menurut Yusoff, prestasi pembelajaran juga tidak seberapa dan ramai kurang berminat meneruskan ulang kaji di luar waktu persekolahan.
“Namun, segalanya berubah selepas Intel memperkenalkan program eBuku pada 2011 dan murid menunjukkan perubahan mendadak terhadap minat untuk ke sekolah,” katanya.
Yusoff berkata, perubahan sikap terbabit didorong elemen teknologi yang ada dalam sistem pembelajaran moden diperkenalkan Intel dalam eBuku terbabit.
“Murid mula hadir ke sekolah dan paling mengejutkan mahu tinggal lebih masa meskipun waktu persekolahan sudah tamat. Biasanya selepas jam 1 tengahari, masing-masing segera keluar dari sekolah, tetapi kali ini mereka mula membuka laptop kecil yang dibekalkan kemudian melakukan aktiviti pembelajaran dalam suasana harmoni dan menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata, murid mula bertukar-tukar ilmu menerusi aktiviti yang ditampilkan dalam bentuk grafik serta multimedia bersesuaian dengan keperluan umur mereka.
“Aktiviti sekolah mula kelihatan menarik dan menyeronokkan, malah murid kini lebih memahami subjek pembelajaran berbanding sebelum pelaksanaan eBuku,” katanya.
Katanya, ibu bapa juga menyokong pelaksanaan eBuku yang merubah sikap anak mereka terhadap aktiviti sekolah malah mereka (ibu bapa) juga boleh hadir ke sesi komputer yang dianjurkan bagi memahami teknologi secara dekat. Selepas waktu sekolah, guru akan memberikan aktiviti seperti kerja rumah yang perlu diselesaikan dalam laptop jadi murid akan melakukannya pada waktu petang dengan bersama rakan mereka.Laptop ini juga boleh dibawa pulang ke rumah, bagaimanapun ia hanya murid tahun 5 dan 6 manakala murid tahun 4 dibenarkan meminjamnya pada waktu persekolahan saja.
Program eBuku adalah salah satu usaha kerajaan negeri memberikan akses teknologi kepada 100,000 murid yang dibekalkan dengan PC Intel Classmate dibangunkan sesuai untuk kegunaan tahan lasak dan murah.
Menurut Pengurus Negara Intel Malaysia, Prakash Mallya, eBuku mengandungi ekosistem teknologi yang kohesif termasuk papan putih elektronik, projektor, notebook untuk guru dan sambungan Internet.
“Setiap kelas dilengkapi notebook berkuasakan Intel Core 2 bagi pembelajaran, mengakses maklumat dan menguruskan aktiviti murid,” katanya.
Tambahnya, guru juga akan dilatih dalam Intel Teach yang memberikan pendekatan pembelajaran canggih bagi pendidikan moden.
“Penerbit yang turut serta dalam program ini termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka yang dibenarkan untuk memindah turun dan mengemaskini kandungan buku teks dalam laptop murid,” kata Mallya.
Selain itu, laptop terbabit sudah dibekalkan dengan aplikasi seperti Quran digital dan skrip tulisan jawi. Selepas setahun dilaksanakan, pencapaian murid jelas menunjukkan perubahan ketara.
Pada 2012, sekolah terbabit mencatatkan 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tidak pernah dibayangkan guru sebelum ini. Manakala kedatangan murid meningkat sehingga 94.4 peratus manakala kehadiran murid darjah enam meningkat 100 peratus.
Lebih membanggakan, SK Paya Bunga yang berada di kedudukan 2,004 pada 2010 bagi ‘ranking’ sekolah di Malaysia melonjak ke kedudukan 620 untuk tahun berikutnya.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProgrameBukuIntelditerimapelajar/Article/index_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment